LRT terkandas, apa sudah jadi?

Unknown 12:47

Masalah teknikal di laluan Kelana Jaya, mengundang rasa marah, geram dan kecewa dikalangan penumpang LRT apabila perkhidmatan pengangkutan awam itu terkandas selama kira-kira 3 jam sehingga menyebabkan mereka lambat tiba ke destinasi masing-masing.


Lebih geram apabila ada dikalangan pengguna mengatakan mereka tidak diberitahu tentang masalah yang sedang berlaku ketika berurusan di kaunter yang terdapat di salah sebuah stesen LRT pada ketika itu.

Jika benar seperti yang dikatakan, apakah pengendali LRT ini tidak punya alat telekomunikasi? Semua kakitangan tidak memiliki telefon bimbit dan hanya menggunakan pondok telefon? Kalau tidak ada telefon bimbit, sudah tentulah mereka tidak ada ‘group whatsapp’ untuk berkomunikasi sesama mereka sepertimana lazim syarikat-syarikat yang lain.

Kalau dapat diberitahu awal, mungkin pengguna boleh mengelak daripada terperangkap di sana bukan…

Semalam, keseluruhan perkhidmatan dari laluan Gombak hingga Putrajaya terjejas apabila kesemua tren di laluan terlibat bergerak perlahan dan berhenti lama di setiap stesen.

Tindakan pantas diambil oleh pihak pengendali operasi apabila menyediakan bas ke KL Sentral, KLCC, Masjid Jamek dan Datuk Keramat, manakala tren ulang-alik disediakan untuk laluan Ampang Park ke Gombak.

Jurucakap LRT Rapid KL memberitahu masalah itu dilaporkan berlaku pada pukul 7 pagi dan pasukan teknikal masih cuba membaiki kerosakan sehingga tengah hari.

Memetik kata Ketua Pegawai Operasi Laluan LRT Kelana Jaya Ismail Abdullah, perkhidmatan LRT terganggu akibat kerosakan sistem isyarat dan komunikasi semasa waktu puncak pagi semalam.

Gangguan berlaku di antara stesen Ampang Park dan Dang Wangi menyebabkan laluan di antara beberapa stesen di pusat bandar raya dihentikan untuk membetulkan keadaan.

Selain membuat permohonan maaf, pengguna yang telah masuk ke kawasan bayaran tiket di stesen-stesen juga boleh memohon bayaran balik di pejabat khidmat pelanggan.

Tidak cukup dengan itu, pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam kenyataan medianya telah mengarahkan Rapid Rail Sdn Bhd untuk menjalankan audit dan siasatan bagi mengenal pasti punca insiden tersebut dan mengemukakan langkah-langkah mitigasi untuk mengelakkannya daripada berulang.

Dengan itu pengendali dikehendaki mengemukakan laporan penuh kepada SPAD pada 21 September 2016, dan mencadangkan langkah-langkah untuk menambah baik perkhidmatan dan mengurangkan masa yang digunakan untuk bertindak balas.

Pengguna yang ingin membuat aduan mengenai insiden ini boleh mengirimkan emel kepada aduan@spad.gov.my.

Semoga pihak pengendali dapat belajar daripada apa yang sudah berlaku. Paling penting ianya tidak berulang lagi.

Apa pula kata anda sebagai pengguna LRT?

#PengangkutanAwam #LRT #Tren #WargaKota

Share this

Related Posts

Previous
Next Post »